Saya Sayang Polis!


Pertama kali saya disaman adalah ketika memandu kereta melalui road-block polis di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu dari SMA Khairiah menghala ke Pantai Batu Burok. Ketika itu saya bersama sahabat saya, Fitri Rashid. Saya mengaku bahawa saya lalai kerana terlupa untuk memakai tali pinggang keselamatan. Sedang ketika menyedari road-block di depan, saya sibuk memeriksa lesen dan IC sehingga terlupa bahawa saya terlupa memakai tali pinggang keselamatan. 

Bila ingat kembali, kelakar pun ada. Risau sangat pada lesen, padahal tali pinggang keselamatan itu adalah lebih utama sebab boleh nampak dengan jelas jika tidak memakainya. Jika pakai tali pinggang keselamatan itu, mungkin tertinggal lesen pun tak mengapa sebab boleh lepas dari polis tu. Itulah sedikit sebanyak pengalaman saya bersama polis dan saman.

 ......................................................................................

Secara amnya, saya boleh simpulkan bahawa keluarga saya adalah keluarga polis. Ramai daripada ahli keluarga saya berkhidmat dengan PDRM. Bermula dengan datuk sebelah emak saya, tujuh orang ayah saudara saya dan empat sepupu saya; semuanya pernah dan sedang berkhidmat bersama PDRM. Tidak ketinggalan, ramai ayah kepada kawan dan kawan serta kenalan saya sendiri juga adalah berkhidmat sebagai polis.

Saya juga dibesarkan dengan drama bertemakan polis seperti Gerak Khas dan Polis KL ( Kalau tak silap saya). Hakikatnya saya amat berbangga dan menghormati profession polis ini atas dasar menjaga keamanan dan keselamatan negara (rakyat).

Namun, ibarat kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana beberapa kerat polis yang tidak menjalankan amanah mereka dengan baik, habis nama PDRM menjadi buruk. Saya kecewa dengan perkara ini dan saya rasa perkara ini patut dibaiki dengan sebaiknya. Saya tahu tugas polis bukanlah menyaman rakyat semata-mata, tetapi melindungi dan mendidik rakyat supaya berdisiplin dalam menjalani kehidupan seharian. Kepercayaan, Integriti dan Professional polis perlu dikembalikan. Saya sayang polis bukan kerana semata-mata saya anak saudara kepada Ketua Polis Pahang, tetapi kerana saya seorang rakyat Malaysia. Saya sayang polis!



"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"

BERSIH 2.0 : Kenapa Perlu Takut?

Kita perlu faham berkenaan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini. Perhimpunan ini bukanlah seperti demonstrasi rakyat Mesir di Medan Tahrir. Bukan bertujuan untuk menentang kerajaan pemerintah, tetapi untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil. Hak demokrasi pada parti yang bertanding dan hak demokrasi pada rakyat yang mengundi. Itu kena faham.

Saya pelik juga bila terbaca berita MCA akan memecat ahlinya yang menghadiri BERSIH 2.0. Mereka  yang menghadiri BERSIH 2.0 bukan menentang gabungan BN, tetapi hanya memperjuangkan demokrasi dan menggesa SPR- Pengadil dalam pertembungan parti-parti politik di Malaysia. Jika dibuang keahlian MCA, mereka sudah tidak boleh masuk UMNO (khas untuk Melayu) atau MIC (khas untuk India) dah selepas ini, pasti mereka akan menyertai PAS + PKR + DAP yang menerima keahlian tanpa prinsip perkauman sempit. Ini satu tindakan yang merugikan bagi sebuah parti politik yang mengharapkan undi.

Kenapa sesetengah pihak perlu berasa takut dengan perhimpunan dan tuntutan BERSIH 2.0 ini jika berada di pihak yang betul? Saya pernah terdengar kata-kata seorang pemimpin dari pihak tertentu yang berbunyi, "Saya pantang dicabar". Ayuh, kita terima cabaran ini, luluskan tuntutan mereka, dan kita test-power kita. Kalau menang kita puas hati, kalau tewas pun, kita tetap puas hati, kerana ini semua adalah pilihan rakyat Malaysia. Kenapa perlu takut dengan BERSIH 2.0 jika kita sudah bersih?




"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"

Chefchaouen (1.0)

Baru-baru ini saya dan sahabat-sahabat telah merancang untuk bercuti di dalam negara. Yelah, sebelum ini, habis saja peperiksaan semester musim sejuk, semua terbang sana sini. Dalam negara tak main, semua nak gi jauh-jauh, luar negara. Lepas peperiksaan semester musim bunga ni, semua senyap je. Dah takde yang terbang-terbang. Bajet dah tak cukup lah tu. He.

Jadinya, kali ni kita bercamping di dalam negara je lah yea. Lagipun saya dah lama tak berjalan dalam negara ni, last sekali masa tahun pertama di sini. Tahun 2,3 dan 4 memang saya banyak ke tempat-tempat jauh dalam negara, tapi bukan atas dasar bercuti. Semua atas dasar urusan kerja, iring tetamu dan lawatan anjuran persatuan. Bercuti sendiri di dalam negara, tahun pertama dan saya amat merindui saat itu.

Kali ini, kami berkelah dan bercamping di Chefchaouen, bandar biru yang dibina di atas bukit. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini. Cantik. Tenang. Sentosa. Orang-orang dia pun cantik-cantik dan baik-baik kat sini. Orang cakap orang Morocco belah utara ni memang cantik-cantik. Tapi kalau kat Malaysia, orang belah pantai timur yang manis-manis, yang sweet-sweet. Orang cakap lah. No komen.

Kami berkelah di Akshor, sebuah kawasan air terjun 45 minit dari pusat bandar Chefchaouen. Sebelum sampai ke tempat air terjun ini, kami terpaksa mendaki bukit dan merentasi hutan. Walaupun penat, namun kami rasa amat berbaloi kerana akhirnya sampai ke destinasi yang dihajati dan air terjun yang bukan sejuk, tapi menyegarkan. Malas nak cerita panjang-panjang, gambar di bawah mengisahkan 1001 ceritera percutian dua hari satu malam kami bersembilan:)

 Dalam perjalanan nak balik pon, ada lagi yang sebut nama tempat ni "Chefwan".

 Pemandangan Morocco yang kaya dengan pertanian.

 Bandar Biru Chefchaouen - 260KM dari Rabat

 Sampai di Akshor, kawasan air terjun 45 minit dari bandar Chefchaouen

 
Bermulanya pengembaraan mendaki gunung dan merentas desa sebelum sampai ke destinasi yang dituju

Nampak pun dah best kan?:)

 Kami

 Dan kami lagi

 Hotel Al-Manar, 60dh semalam. Selesa dan Best.

 Sarapan pagi kami di beranda hotel (+15dh) sambil berangan sarapan di rumah sebegini rupa setiap hari.

Bersambung...

"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"

Tesis, Kepujian Dan Dakwah


Alhamdulillah, akhirnya tesis yang ditugaskan untuk kami setiap pelajar tahun akhir di sini, berjaya saya siapkan. Untuk makluman semua, kami di sini ditugaskan untuk menyiapkan tesis pada semester akhir (subjek wajib) manakala praktikal adalah khusus untuk pelajar bidang Pengajian Islam di Universiti Mohamed El-Khamis, Rabat sahaja. Mengenai praktikal, saya sudah menulisnya di sini. <--

Namun menjadi kekecewaan kami, walaupun kami mempunyai tugasan tesis dan praktikal, tetapi sijil ijazah kami masih belum mendapat penaiktarafan dari pihak JPA. Tidak tahu dimanakah silapnya, tapi bagi saya, kami pelajar-pelajar di Morocco ini juga berhak dapat sepertimana sahabat-sahabat di Timur Tengah yang lain dapat; penaiktarafan ijazah- daripada Ijazah Am kepada Kepujian. Tambahan pula, sistem pemarkahan di sini sedikit menyesakkan. Tanpa menafikan ada sebahagian pelajar di sini mendapat Kepujian secara langsung, namun kebanyakannya masih di peringkat Ijazah Am walaupun kualiti mereka boleh dibanggakan. 'Mereka' itu merujuk kepada senior-senior saya yang sudah graduan.

Muka Belakang
Kami pelajar-pelajar di sini menggunakan sistem pemarkahan sama seperti pelajar-pelajar di Perancis. Kerana Morocco merupakan salah sebuah bekas tanah jajahan Perancis sebelum ini. Bahasa kedua di sini juga adalah Bahasa Perancis. Markah kami hanya per 20. Tiada CGPA seperti di Malaysia. Dan sangat tidak adil bagi kami jika markah kami cuba untuk didarabkan lima bagi mengetahui peratusan keseluruhan. Sekali lagi, sangat tidak adil. Kenapa? Kerana sistem yang membezakannya. 

Kecuali beberapa universiti di Morocco yang mudah dan memudahkan, pelajar-pelajar di Universiti lain perlu bekerja sangat keras untuk mendapat Kepujian di dalam ijazah mereka. Saya berharap suara ini dapat didengari oleh pihak yang bertanggungjawab. Dan jika mempunyai kesempatan dan peluang, mahu juga saya berusaha untuk menyelesaikan isu yang telah saya dengar sejak saya tahun pertama lagi di sini. Sehingga sekarang, saya di tahun akhir, masih tiada penyelesaiannya. Mana tidaknya, usaha pun tidak nampak bayang-bayang. Cakap, bincang, senyap. Cakap, bincang, senyap. Ulangan rutin yang saya sendiri tidak pasti bilakah pengakhirannya.
Siap Dicetak

Berbalik kepada topik utama, tajuk tesis saya adalah "Dakwah Islamiah di Malaysia", berkonsepkan pengumpulan maklumat dari pelbagai sumber. Saya akui, kajian yang dilakukan ini masih banyak kekurangannya. Masih banyak yang perlu dikaji dan ditambahbaik memandangkan masa dan peluang untuk membuat kajian ini dengan lebih mendalam juga sangat terhad. Menjadi harapan saya untuk menyambung kajian ini demi kemaslahatan dan keberkesanan dakwah di Malaysia. Ramai orang berdakwah, tapi tidak banyak dakwah mereka berkesan. Dengan pelbagai alasan, kita menyatakan itu adalah 'sunnah orang berjuang', namun dalam masa yang sama, kita ego dengan kelemahan kita sendiri. Kita harus terima itu sebagai cabaran.

Harapan saya untuk tesis saya ini adalah supaya kajian yang dibuat dapat menjadi asas dan langkah mula kepada hala tuju dan masa depan dakwah di negara kita. Dengan kehidupan di era globalisasi yang semakin mencabar ini, usaha dakwah untuk mengajak manusia ke arah Islam perlu seiring dengan kemajuan tanpa mengabaikan prinsipnya dan memerlukan sandaran ilmu-ilmu lain seperti ilmu Maqasid, IT, Psikologi, Komunikasi dan banyak lagi. Semoga Allah memberi kekuatan untuk meneruskan usaha ini, insyaAllah~

"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"

Negara Kebajikan Yang Diharapkan

Apakah yang diharapkan daripada 'Negara Kebajikan'? Bagi saya apa yang saya harapkan adalah :-

1. Menambahkan 'subsidi' / menurunkan harga barang-barang keperluan harian rakyat seperti minyak petrol, elektrik dan gula. Jika harga barang rendah, pasti kurang tuntutan kenaikan gaji dari pekerja-pekerja. Hipotesisnya, semakin rendah harga barang, semakin kurang tuntutan kenaikan gaji oleh pekerja-pekerja. Setuju? Kenapa perlu mengurangkan subsidi negara sedangkan klaim pimpinan yang tak perlu sentiasa dipenuhi/berlebihan?

*Sebelum ni saya ada bercakap bersama seorang pegawai kerajaan Terengganu yang menetap di Besut, daerah paling hujung Terengganu bersempadan dengan Kelantan. Dan beliau mengakui bahawa beliau dan keluarga banyak membeli barang-barang di Kelantan atas sebab di Kelantan lebih murah berbanding di Terengganu. Mungkin kalian lebih tahu daripada saya apakah sebabnya.

2. . Saya fikir pemimpin perlu mengurangkan klaim/tuntutan kewangan yang tidak perlu seperti lawatan beramai-ramai ke luar negara. Kadang-kadang ahli rombongan melebihi orang yang hendak dilawati. Satu lagi, saguhati yang hendak diberikan kepada yang dilawat itu adalah lebih sedikit berbanding dengan perbelanjaan orang-orang besar ini datang membuat lawatan. Saya bercakap dari pengalaman.

Saya lihat ini lebih kepada mengambil kesempatan melancong (mungkin?) walhal hasil daripada lawatan ini untuk masyarakat umum tidak dapat dirasa. Saya pernah terfikir, berapakah duit rakyat yang telah habis ketika mereka melawat kami di sini. Kalau mahu berikan kepada kami sedikit bantuan atas dasar rakyat/mahasiswa, saya rasa kemudahan bank-in sekarang ini ada di mana-mana. Menjimatkan mungkin beribu-ribu ringgit duit rakyat dan dalam masa yang sama matlamatnya sampai. Nak beri duit kepada kami, berilah. Kami tak marah, kami tak halang, bak kata pepatah, 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'. Tapi janganlah sampai membazirkan hak adik-beradik kami yang lain pula.

3. Saya berharap agar kerajaan mengurangkan projek-projek gajah putih. Projek yang hanya menguntungkan kroni-kroni, tanpa tender terbuka dan hasil yang tidak memuaskan. Bocor. Runtuh. Retak. Projek berjuta-juta, hasil hanya untuk kualiti ribu ringgit. Juga harap kerajaan kurangkan projek-projek yang tidak membawa hasil pelaburan yang menguntungkan rakyat. Taman Tamadun Islam yang kian lama kian kelam? Kompleks Paya Bunga? Bangunan di depan Pasar Kedai Payang? Lapangan Terbang KT yang sempit? Aduh, itulah duit-duit rakyat. Lepas ni mahu bina menara berkembar 30 tingkat pula?

"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"
© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft