Abdul Rahim Menang Besar!


MAGHRIBI, 14 Feb - Calon bebas, YB Abdul Rahim bin Zainudin, 21 telah berjaya memenangi kerusi Timbalan Setiausaha 1 Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM) dalam pilihanraya kecil yang telah berlangsung hari ini (semalam).

Kemenangan Abdul Rahim dalam persaingan sengit itu menyaksikan beliau memperoleh undian sebanyak 66.37%. Persaingan tiga penjuru itu juga menyaksikan beliau menewaskan dua lagi calon bebas, YB Azri Amin dan YB Hamiz Aizuddin.

Keputusan pilihanraya kecil yang menutup peti undi tepat jam 4.00 petang di setiap cawangannya diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PMMM tepat jam 8.00 malam melalui saluran kumpulan PMMM (PMMMGroup).

Kemenangan Abdul Rahim itu telah disambut dengan laungan takbir dan sorakan oleh rakyat-rakyat seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara di sini. Tidak ketinggalan perarakan kenderaan-kenderaan awam seperti keretapi, bas, teksi kabir dan juga basikal kayuh meraikan kemenangan Abdul Rahim di sekitar jalanraya ibu kota Rabat dengan bunyian hon masing-masing, menyebabkan sedikit kesesakan lalulintas berlaku.

Bertitik tolak daripada keputusan pilihanraya kecil semalam juga, kerajaan Maghribi turut mengisytiharkan cuti umum pada esok hari (hari ini) bagi seluruh jajahan Maghribi bagi mengadakan sambutan kesyukuran kemenangan Abdul Rahim.

Tidak ketinggalan, para penyokong Abdul Rahim berhajat mahu mengadakan upacara cukur kepala beramai-ramai dan menamakan anak-anak lelaki mereka yang baru dilahirkan dengan nama idola mereka tersebut bersempena kemenangan calon itu pada pilihanraya kecil kali ini.

Namun begitu, Timbalan Setiausaha 1 PMMM yang baru itu tetap ber'diri rendah' dan tidak ujub, riak serta takabbur dengan kemenangan beliau. Semalam, menurut sumber, beliau masih lagi sanggup duduk bermesra dan makan setalam bersama sahabat-sahabat beliau yang lain seperti biasa walaupun status sekarang beliau sudah bergelar Ahli Majlis Tertinggi PMMM.

Pilihanraya kecil ini diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Timbalan Setiausaha 1 PMMM berikutan perletakan jawatan penyandangnya sebelum ini, YB Muhd Aimaduddin bin Mohamad Rabeh pada Januari lepas. Pada pilihanraya umum PMMM yang lalu, Aimaduddin Rabeh memenangi kerusi tersebut.-Ekramhakim.


"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut.."

0 Comments to "Abdul Rahim Menang Besar!"

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft