Temuramah Bakal YB 3


Temuramah Bersama Wartawan PMMM


Selepas jauh berkelana ke Fes, kali ini kita kembali ke Rabat untuk menemuramah calon ketiga, YB Muhammad Hamiz Aizuddin bin Yasir. Kebetulan, kediaman rasmi YB Hamiz dengan pusat media cawangan Rabat berada di bawah satu bumbung. Adakah ini menunjukkan YB Hamiz mesra media? Kita ikuti wawancara beliau bersama wartawan kami.

1) Apakah perasan anda apabila dicalonkan sebagai Timbalan Setiausaha 1 PMMM?

Syukur Alhamdulillah kerana ahli persatuan masih boleh melihat dan memerhati kebolehan lain yang ada pada saya bukan hanya sekadar di dapur. Mungkin ahli persatuan menilai kerja saya pada program RECODA baru-baru ini yang mana saya ditugaskan sebagai Setiausaha bagi program tersebut. Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak kepada semua kerana memberi peluang kepada saya sebagai calon kerusi panas ini.

2) Rasa boleh menang atau tidak? Kalau tidak anda, siapa? Dan kenapa anda/dia lebih layak menang?

Peluang untuk menang itu saya anggarkan tipis memandangkan calon- calon lain tidak kurang hebatnya. Kedua-dua mereka (calon lain) mungkin lebih berpengalaman dalam bidang ini. YB Azri sebagai mantan Setiausaha Kehormat dan YB Rahim pula sebagai Moderator GKLN Timur Tengah dan Afrika Utara. Namun begitu, ini tidak mencerminkan saya tidak mempunyai pengalaman langsung .

Bakat lama saya ketika di sekolah menengah dulu yang kini sudah berhabuk perlu digilap kembali. Ya lah, di sini, asyik dapur saja kerjanya. Dahulu, mandat yang diberi sebagai Pengerusi Pusat Sumber sekolah juga secara tak langsung sedikit sebanyak terlibat dengan kerja-kerja kesetiausahaan dan persuratan sebegini. Di sini, kepekaan dan kecaknaan terhadap perubahan ejaan dan sistem pengformatan yang baru perlu diambil tahu bagi mengelakkan kesilapan pada ejaan dan sistem pengformatan itu sendiri. Walaupun pada tanggapannya sekadar kesalahan kecil namun ini melambangkan kebelakangan dan ketidakpekaan kita terhadap sesuatu perubahan baru khusus dalam lapangan ini. Ini wajar kerana mencerminkan keseriusan dan kepedulian kita terhadap sesuatu perkara.

3) Andai menang, apa yang anda akan lakukan untuk persatuan melalui AMT?

Andai kata diberi peluang, insyaALLAH saya akan laksanakan yang terbaik. Tiada apa yang diperlukan sebagai Timbalan Setiausaha ini selain memantapkan lagi pengurusan persatuan sebelum ini kepada sistem yang lebih baik. Pengurusan data persatuan, maklumat-maklumat dan sebagainya yang berkaitan dengan bidang kesetiausahaan ini.

4) Apa komen anda tentang sesetengah pendapat mengenai orang dapur biarlah pengkhususan mereka hanya di dapur. Orang-orang dapur diperlukan di dapur dengan kemahiran mereka tersendiri (memasak).

Bagi saya semua orang perlu diberi peluang untuk melaksanakan kepelbagaian tugas. Sudah tiba masanya persatuan kita melaksanakan anjakan paradigma untuk setiap ahli. Kala ini, siswazah berkemampuan serta berkebolehan dalam pelbagai aspek yang negara kita mahu lahirkan bukan hanya sekadar mengenggam ijazah sahaja. Jadi,saya menyarankan di sini khususnya kepada persatuan, sekiranya mengadakan sesuatu program agar dapat memvariasikan muka-muka sama dalam setiap unit agar kita dapat menjana satu perubahan yang positif, insyaALLAH.

Bagi saya, semua orang mampu melaksanakan tugasan yang diberikan kepadanya, yang penting kemahuan untuk melaksanakanya.Tiada alasan bagi seseorang itu untuk mengatakan dia tidak pandai atau tidak tahu dalam sesuatu perkara. Saya bagi contoh di sini, dalam masakan, tiada istilah “saya tidak pandai masak”. Bagi saya istilah sebegini tidak patut wujud kerana saya merasakan semua orang pandai masak. Cuma yang membezakannya ialah adakah masakan yang dimasak itu sedap atau tidak, itu sahaja. Sewajarnya, peluang sebegini harus direbut untuk kita merasai pengalaman baru yang saya kira jarang-jarang atau tidak dapat kita perolehi di Malaysia .

5) Amanat kepada pengundi?

Undilah atas kebijaksanaan kalian. Jangan menilai dari luaran sahaja, tetapi nilailah sedalam-dalamnya. Berfikir secara positif, kreatif, dan kritis dan tidak mengikut hawa nafsu. Semua ini tidak lain tidak hanya demi kebaikan persatuan kita juga .Akhir kata, undilah dengan kejujuran dan keikhlasan dalam membuat pengundian. Selamat mengundi.

Pengalaman dalam program-program PMMM

1) Bendahari Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008

2) Ketua Unit Jamuan ASPIRATION 2008

3) Ketua Unit Jamuan Program Sambutan Mahasiswa Baru 2008

4) Unit Protokol Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Luar Negara 2008

5) Setiausaha RECODA 2009



Wartawan : Ekramhakim

Jurufoto : Cuti Bersalin




"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut.."

0 Comments to "Temuramah Bakal YB 3"

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft