Temuramah Bakal YB 2


Jika semalam kita telah mengikuti temubual bersama calon YB pertama, kali ini pihak kami ingin membawa anda bersama-sama dalam temubual bersama calon kedua kerusi Timbalan Setiausaha 1 PMMM pula, YB Azri Amin bin Che Din. Wartawan kami, Mohd Ikram Hakim berjaya menghubungi beliau melalui atas talian memandangkan lokasi kediaman rasmi beliau di Fes dengan pusat media di Rabat terlalu jauh dan keadaan semasa di sana yang amat sejuk ditenggelami salji tebal Ifrane sehingga berlaku kejadian kaki-kaki memasuki longkang akibat salji. Ikuti temubual tersebut.

1) Apakah perasaan anda apabila dicalonkan sebagai Timbalan Setiausaha 1 PMMM?

Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih buat warga PMMM yang sudi mencalonkan saya bagi merebut kerusi Timbalan Setiausaha Kehormat 1 PMMM sesi 2008/2009. Mengenai perasaan pula, ada 2 iaitu gembira dan risau. Gembira kerana saya masih diberi peluang untuk menjawat jawatan dalam AMT PMMM. Manakala risau sekiranya saya tidak dapat melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya.

2) Rasa boleh menang atau tidak? Kalau tidak anda, siapa? Dan kenapa anda/dia lebih layak menang?

Menang dan kalah adat pertandingan. Apa yang boleh saya katakan di sini kepada mereka yang mencalonkan saya, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk PMMM. Jika dilihat kepada 2 calon lagi, kedua-duanya muka baru. Jika para ahli PMMM ingin melihat muka baru menduduki kerusi ini, pilihlah antara mereka berdua.

Saya tidak boleh ramalkan akan diri saya melainkan para ahli PMMM yang membuat keputusan. Sekiranya saya diperlukan PMMM, berilah saya peluang terutamanya bagi menebus balik kesilapan yang saya lakukan semasa menjawat jawatan Setiausaha Kehormat PMMM sesi 2006/2007. Saya juga punya kelebihan dan kelemahan.

Lagi satu, Presiden PMMM sekarang juga merupakan rakan sekapal saya iaitu datang bersamanya selepas peperiksaan STAM dahulu. Ini sedikit sebanyak memudahkan untuk saya bertoleransi dengan beliau dalam memacu dan mengendalikan PMMM. Peringkat awal perlantikannya, beliau telah meminta jasa baik saya untuk sama-sama membantunya dalam merealisasikan impiannya untuk melihat para ahli PMMM “Menjana Keintelektualan, Memimpin Perubahan”. Maka dengan peluang yang ada ini saya ingin membantu beliau secara terus dan setakat yang termampu.

3) Andai menang, apa yang anda akan lakukan untuk persatuan melalui AMT?

Untuk melakukan perubahan atau agenda dalam PMMM memerlukan kerjasama AMT dan semua ahli PMMM. Kerusi yang dipertanding ini pun bukanlah kerusi Presiden. Maka, andaikata saya terpilih saya cuma boleh nyatakan pandangan, cadangan serta kritikan saya secara terus dalam mesyuarat AMT PMMM. Sebagaimana yang dimaklumi, saya antara ahli PMMM yang prihatin atau mengambil cakna akan pergerakan atau pengendalian AMT dalam mentadbir PMMM. Cuma bagi saya, jawatan ini juga penting untuk saya melakukan serba sedikit gerak kerja untuk memajukan PMMM kerana dengan adanya jawatan, suara kita akan didengar orang dan mudah untuk berurusan dengan pihak luar.

Saya sekarang ini juga sedang berusaha merancang program ilmiah seperti mengundang Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ustaz Maszlee Bin Malik. Pengaruh atau jawatan amat penting untuk berurusan dengan mereka ini yang boleh dikatakan masyhur serta dikenali ramai. Dan yang penting, saya sedang berusaha untuk memohon pihak JPA mengkaji balik berkaitan pengiktirafan sijil Ijazah berpangkat Maqbul agar diterima sebagai B.A (Hons) iaitu B.A dengan Kepujian. Gerak kerja ini memerlukan jawatan dalam PMMM untuk memudahkan urusan dengan pihak JPA mahupun Kementerian Pengajian Tinggi, Putra Jaya.

Andaikata saya tidak terpilih, saya akan teruskan usaha ini cumanya sedikit kesukaran akan saya hadapi kerana terpaksa berurusan atas nama persendirian atau atas nama lepasan graduan Maghribi. Apa pun doakanlah agar usaha ini membuahkan hasil untuk kesenangan kita semua. Itulah serba sedikit apa yang dapat saya lakukan untuk PMMM.

4) Orang melihat anda sebagai pencadang dan pengkritik yang bernas dan lantang sebelum ini terhadap gerak kerja persatuan. Tahniah. Adakah anda akan teruskan status ini jika anda berada di dalam AMT nanti? Yang manakah menjadi keutamaan anda, cadangan dan kritikan atau gerak kerja anda sebagai Timbalan Setiausaha 1?

Saya akui yang saya banyak melontarkan pandangan, cadangan mahupun kritikan kepada pentadbiran PMMM. Mungkin ada yang setuju dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju. Biasalah, di mana ada positif, di situ ada negatif. Apa pun, saya harap anda menilai segala lontaran saya itu secara positif. Peka dan cakna terhadap apa yang dikatakan bukan terhadap siapa yang berkata.

Sekiranya saya terpilih untuk menjawat jawatan AMT, semestinya saya akan kekalkan status saya sebagai pengkritik mahupun pencadang. Tetapi melalui saluran secara terus iaitu dalam mesyuarat AMT. Maka, tidak akan kedengaran lagi kritikan mahupun pandangan saya dalam PMMM Group. Dalam masa yang sama, saya salah seorang penggerak PMMM dalam melakukan sesuatu program.

Tetapi perlu diakui juga, dengan terlantiknya pengkritik dalam pentadbiran, akan menyebabkan dirinya seolah-olah dikurung atau terpaksa menyepi dan inilah salah satu cara untuk mengurangkan kritikan kepada pentadbiran. Itu perlu anda maklumi. Secara tak langsung, dia juga perlu menjaga status pentadbiran tersebut. Mungkin juga kritikan itu akan terpalit kepada dirinya sendiri.

Jika ditanya yang paling utama, maka gerak kerjalah yang perlu diutamakan kerana itulah tujuan kenapa saya mengkritik. Bagi mereka yang memandang kritikan itu secara positif, maka dia akan menjadikan kritikan itu sebagai panduan dan cabaran untuk dia melaksanakan gerak kerja hasil dari kritikan tersebut. Tetapi biasalah, ego orang atasan (pemimpin) ini lebih tinggi dari ego orang bawahan (rakyat).

Sebagai contoh saya bagi, andaikata 3 perkara dibangkitkan oleh orang bawahan akan diterima hanya 2 sahaja oleh orang atasan. Kalau tidak pun, ianya mengambil masa yang agak lama untuk diterima. Ini pandangan sayalah terhadap apa yang saya perhatikan. Bukan semua pemimpin bersikap demikian. Lagipun, setiap orang mempunyai pandangan dan penilaian yang berbeza. Itu perlu di ambil kira dan dinilai juga.

Andai kata gerak kerja yang saya lakukan tidak berapa berhasil, tidak bermakna saya tidak melakukan tugas. Begitu jugalah dengan ALP yang lain. Semuanya saling bergantung antara satu sama lain. Yang pasti, semua ahli harus memberi komitmen terhadap PMMM dan ALP PMMM perlu komited dengan beban tugas yang dipikul. Sebatang lidi mudah untuk dipatahkan tetapi seberkas lidi amat sukar dipatahkan.

Dan saya percaya, sekiranya saya berada dalam pentadbiran PMMM, akan ada ahli PMMM yang mengkritik gerak kerja pentadbiran PMMM. Tidak bermakna hanya saya seorang sahaja yang dilihat sebagai pengkritik. Malah mungkin pengkritik tersebut lebih hebat dan berani dari saya. Anda dialu-alukan untuk mengkritik secara anak jantan dan bukannya hanya sekadar cakap-cakap belakang. Bukankah ini menyalahi etika pelajar agama dan sememangnya membelakangkan syariat Islam? Yang penting, hendaklah mengikut saluran yang betul.

5) Amanat kepada pengundi?

Akhirnya, semoga para ahli PMMM dapat memilih antara 3 kami bertiga yang sedikit mudharatnya dan banyak manfaatnya. Yang pasti, muka baru patut diberi peluang untuk mereka mematangkan diri dan mencurahkan bakti dan khidmat setia kepada PMMM. Tetapi dalam masa yang sama, tidak menafikan akan muka lama. Perlu juga diberi ruang untuk menebus kesilapan lalu dan semoga muka baru dapat mengambil iktibar dan pengajaran untuk sesi pemerintahan yang baru pada bulan 7 tahun 2009 ini nanti iaitu sesi 2009/2010.

Pengalaman di dalam PMMM:-

1) Naib Timbalan Ketua Biro Kebajikan PMMM sesi 2005/2006

2) Pengarah Sambutan Pelajar Baru (SPB) sesi 2005/2006

3) AJK SPR PMMM sesi 2006/2007

4) Setiausaha Kehormat PMMM sesi 2006/2007 (selama 5 bulan sahaja)

5) Naqib Usrah sesi 2006/2007

6) Juru Audit PMMM sesi 2007/2008

7) Naib Pengerusi SPR PMMM sesi 2007/2008


Wartawan : Ekramhakim
Jurufoto : Cuti (Suami Alahan)



"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut.."

0 Comments to "Temuramah Bakal YB 2"

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft