Pelajar Malaysia mati lemas di AS

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dipercayai mati lemas ketika bercuti di kawasan air terjun Abrams Falls di Taman Negara Great Smokey Mountain, Tennessee Ahad lalu.

Mangsa, Nublan Zaki Norhadi, 20, adalah pelajar tahun satu jurusan Sains Aktuari di Pennsylvania State University.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Mara, Hasni Suleiman, berkata pelajar tajaan Mara itu didapati lemas kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) dan ditemui oleh pihak renjer taman negara berkenaan kira-kira jam 1 petang (waktu tempatan) keesokan harinya.

"Ketika kejadian, Nublan Zaki bersama lebih kurang 30 pelajar daripada universiti yang sama sedang menghabiskan masa cuti mereka selepas tamat peperiksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasni berkata, Mara sudah memaklumkan kepada keluarga mangsa tentang kejadian itu dan urusan penyempurnaan jenazahnya sudah dikendalikan oleh Pejabat Mara di Washington serta dibantu oleh Jabatan Penuntut Malaysia, Kedutaan Malaysia, para pelajar Malaysia dan penduduk Muslim tempatan.

Jenazah Nublan Zaki dibawa pulang semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.15 pagi esok.

Mangsa berasal dari Kampung Matang Pagar, Sungai Buluh, Selangor. - Bernama

Ekramhakim : Sesungguhnya dari ALLAH kita datang dan kepada ALLAH tempat kita kembali. Kepada semua sahabat-sahabat, sebetulnya ajal di tangan ALLAH. Namun kita perlu menjaga keselamatan dan kesihatan sentiasa, lebih-lebih lagi kepada yang berada jauh dari keluarga tersayang. Jangan remehkan diri anda. Jangan rasa tidak 'macho' jika kita berjaga-jaga tentang keselamatan dan kesihatan kita sendiri.

Yang akan bercuti, yang merancang untuk bermandi, berehlah dan sebagainya di pantai ataupun air terjun, berhati-hatilah. Dalam suka-suka, jangan lupa bahawa kita adalah aset keluarga, agama, masyarakat dan negara. Minta dijauhkan dari segala bencana. Ameen.


"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut.."

1 Comment to "Pelajar Malaysia mati lemas di AS"

  1. salam ziarah...
    peringatan yg bagus...

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft