Keprihatinan PMMM Terhadap Isu di Mesir

Assalamualaikum w.b.t. Semoga ahli PMMM sentiasa dilindungi Allah walau di mana sahaja berada. Alhamdulillah juga kita masih dikurniakan dua nikmat terbesar; nikmat Islam dan nikmat Iman. Tidak lupa, selawat dan salam buat pemimpin junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini 1 Februari 2011 genap seminggu demonstrasi untuk menjatuhkan rejim kerajaan Mesir pimpinan Presiden Husni Mubarak oleh rakyatnya sendiri. Usaha yang diketuai oleh Mohamed Elbaradei, seorang aktivis demokrasi Mesir ini tiada tanda henti sehingga Presiden Husni Mubarak mengundur diri ataupun digulingkan walaupun berhadapan dengan pasukan tentera yang telah dikerah untuk turun padang.

Demonstrasi ini dikaitkan berikutan semangat revolusi rakyat Tunisia yang telah menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali baru-baru ini. Misi utama demonstrasi rakyat di Mesir ini adalah berdasarkan tiga persoalan utama:-

  1. Kerajaan Mesir yang sentiasa mendahulukan agenda barat. Sekatan di sempadan Rafah, aktiviti rasuah berleluasa, kerosakan akhlak dll.
  2. Kekayaan negara yang tidak dirasai oleh rakyat bawahan.
  3. Sistem demokrasi yang sangat teruk di Mesir.
Semoga Allah membantu kumpulan yang ingin menegakkan kebenaran menentang kemungkaran sebagaimana mafhum firman Allah di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantumu dan mengukuhkan tapak pendirianmu.” – Surah Muhammad : Ayat 7.

Sebagaimana yang kita tahu juga, keadaan di Ard Al-Kinanah kini semakin meruncing disebabkan kekerasan kerajaan Mesir yang sanggup berperang dengan rakyatnya sendiri. Sehingga kini, sudah ratusan nyawa sudah terkorban dan ribuan lagi tercedera.

Dalam usaha segolongan yang mahu menegakkan kebenaran untuk menentang kemungkaran, ada juga golongan yang mengambil kesempatan di atas keadaan yang tidak terkawal di Mesir. Jenayah berleluasa dengan rompakan dan pergaduhan, banduan lari dari penjara dan banyak lagi.

Mutakhir ini juga, Alhamdulillah perkembangan semasa dari Kerajaan Malaysia yang berhasrat untuk bertindak memindahkan segera semua 11, 319 orang rakyat Malaysia di Mesir ke negara berdekatan seperti Arab Saudi, Jordan dan Libya melalui jalan laut dan jalan udara selepas keadaan dilihat semakin kritikal dan tidak terkawal.

Di kesempatan ini, saya mengharapkan keprihatinan semua ahli PMMM untuk mengetahui perkembangan di Mesir dari semasa ke semasa sebagai seorang Muslim dan isu dunia Islam. Dan untuk pengetahuan semua juga, kita PMMM bernaung di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Mesir. Tiada ahli PMMM yang berada di Mesir buat masa ini dan saya juga ingin menasihati agar kita tidak menziarahi Mesir dalam masa terdekat sehingga keadaan dijamin kembali tenteram.

Akhirnya, saya menyeru agar kita semua mendoakan keselamatan semua yang berada di Mesir umumnya dan rakyat Malaysia yang masih tersekat di sana khususnya terutama kaum kerabat kita, sahabat-sahabat kita dan juga suami seorang ahli keluarga PMMM kita sendiri. Semoga mereka dipermudahkan segala urusan, Ameen.


“Mahasiswa Berintegriti, Mendinamikkan Inovasi”


Mohd Ikram Hakim bin Mohd Radzi
Pemangku Presiden,
Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi.

0 Comments to "Keprihatinan PMMM Terhadap Isu di Mesir"

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft