|
Abang Teh bersama Piala FA. |
Tahniah buat pasukan Terengganu kerana telah berjaya merangkul Piala FA buat kali kedua dan juga berjaya menamatkan kemarau piala buat pasukan Terengganu sepanjang 10 tahun. Itulah yang dinamakan rezeki. Tika mana pasukan Kelantan sudah di ambang kejuaraan, namun gol pada minit-minit akhir, lebih-lebih lagi gol sendiri memberikan kelebihan buat pasukan Terengganu untuk lebih bersemangat.
Kalau bukan rezeki, nasi di dalam suapan pun masih boleh jatuh ke lantai. Kalau bukan rezeki, lauk di dalam perut pun masih boleh muntah kembali. Kalau bukan rezeki, syawarma yang ditempah pun takkan sampai sehinggalah kawan-kawan lain habis makan. Kalau bukan rezeki, kelebihan gol dari awal permainan pun belum tentu menentukan kejuaraan dan kemenangan buat pasukan. Kalau bukan rezeki dan jodoh, bercinta bagai nak rak pun, belum tentu menjadi pasangan suami isteri. Itulah rezeki dan ketentuan, semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Sekali lagi ucapan tahniah diucapkan buat kedua-dua pasukan. Saya tidak merasakan bahawa gol sendiri minit-minit akhir itu adalah satu perancangan atau rasuah. Saya percaya kedua-dua pasukan mengamalkan integriti yang baik sepanjang kejohanan berlangsung. Saya bangga dengan penyokong-penyokong, terutamanya penyokong Kelantan yang memenuhi stadium tempoh hari. Jumlah yang melebihi tempat duduk stadium dan mencatat rekod teramai untuk kejohanan Piala FA - 90,000 orang. Dan saya percaya majoritinya adalah penyokong Kelantan. Tahniah!
Saya melihat pasukan Kelantan telah melakukan suatu rebranding pasukan setelah diambil alih oleh Presidennya, Tan Sri Annuar Musa. Mungkin ala-ala pasukan Manchester United kerana meniru nama panggilan Red Devil - Red Warriors untuk pasukan Kelantan. Selain daripada membina akademi bola sepak dan membina pasukan dari pemain-pemain bintang. Sesuatu yang menarik. Dan kini Kelantan merupakan salah sebuah kuasa bola sepak terkuat dalam Liga Malaysia selain Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. Semoga bola sepak Malaysia makin maju!
"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut"
0 Comments to "FA Kap : Itulah Yang Dinamakan Rezeki"
Post a Comment