Malam Munajat Kasihku Palestin

RABAT 24 Jan - Sebuah majlis bersempena memperingati saudara kita di Palestin telah diadakan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Maghribi dan Persatuan Rakyat Malaysia di Maghribi. Malam Munajat Kasihku Palestin ini telah berlangsung dengan jayanya di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Maghribi.

Majlis yang dihadiri kira-kira 80 orang hadirin dari kalangan pegawai kedutaan, rakyat-rakyat Malaysia yang berada di sini dan mahasiswa-mahasiswa Malaysia dari seluruh pelusuk Maghribi, dimulai dengan solat Maghrib berjemaah beserta qunut nazilah, solat hajat dan juga solat jenazah ghaib.

Sementara menunggu azan Isyak berkumandang, sedikit pengisian tazkirah oleh Ustaz Razizi bin Tarmuji, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Pengajian Islam. Tazkirah berkisarkan sejarah peperangan antara Islam dan Yahudi ini sedikit sebanyak memberi impak kepada para hadirin. Terangnya lagi, strategi pembinaan generasi Solehuddin Al-Ayubi kedua juga mesti dimulakan dari sekarang oleh diri kita sendiri.

Selepas solat Isyak berjemaah beserta qunut nazilah, sedikit ucapan oleh Pengarah Program, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi, Ustaz Nor Adli Syahri bin Abdul Kadir, Setiausaha Persatuan Rakyat Malaysia di Maghribi, Encik Muhammad Kamil bin Bahrin, dan ucaptama oleh Datuk Othman bin Samin, Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Maghribi.

Kemudian hadirin dihidangkan dengan persembahan multimedia kesengsaraan dan keganasan yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Palestin. Seterusnya, persembahan deklamasi sajak yang julung-julung kali diadakan dalam mana-mana program di sini telah mempersembahkan sajak-sajak ahli Grup Karyawan Luar Negara di Morocco.

Antara pendeklamasi sajak pada malam itu adalah Saudara Abdul Rahim bin Zainuddin (Stanza Melankolia di Marga Hampa - karya sendiri), Saudari Nurzahirah binti Zahid (Lukamu Gaza - karya sendiri), dan penampilan khas Akh Amir (Cetusan Berang Dari Jembalang - karya Al-Fannani).

Pada penghujung majlis, hadirin dihiburkan dengan sedikit persembahan nasyid oleh kumpulan Al-Firdausi dengan lagu bertemakan Palestin iaitu lagu Kedamaian nyanyian asal Brothers dan Selamatkan Dunia nyanyian asal In-Team. Majlis pada malam itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Irdha bin Mokhtar dan sedikit jamuan makan malam.

Semoga dengan majlis pada malam itu menjadi titik mula bagi hadirin untuk memulakan langkah menuju kemenangan dan bukan sekadar untuk malam itu saja. Bukan sekadar munajat..~


"Tertutup Jangan Terlalu Jumud, Terbuka Jangan Sampai Hanyut.."

0 Comments to "Malam Munajat Kasihku Palestin"

© Copyright Reserved ||::ekramhakim.com::|| | Design by: Yoshz | Converted into Blogger Templates by Theme Craft